AFP

PELUMBA Itali menunggang Ducati, Danilo Petrucci mengenepikan cabaran Marc Marquez untuk meraih kejayaan sulung MotoGP pada Grand Prix Itali di litar Mugello, hari ini.

Kedudukan tempat kedua membolehkan pelumba Sepanyol itu melebarkan jurang mata dalam kedudukan kejuaraan dunia di depan seorang lagi pelumba Itali, Ducati, Andrea Dovizioso, yang menamatkan saingan di tempat ketiga selepas terbabit dalam pertarungan sengit tiga pelumba hingga ke garisan penamat.

Juara dunia lima kali MotoGP, Marquez yang menunggang Honda hanya dapat merampas pendahuluan seketika pada pusingan terakhir tetapi Petrucci memintas semula untuk berada di depan dan menang.

“Ia menakjubkan, saya teruja,” kata Petrucci, 28 yang menamatkan saingan di tempat ke-8 pada kejuaraan 2017 dan 2018.

“Menang di tempat sendiri dihadapan penyokong sendiri dan kampung halaman sendiri, ia menyeronokkan dan saya tidak tahu bagaimana untuk meluahkan apa saya rasa sekarang.”

Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin (Red Bull KTM Tech 3) gagal menamatkan perlumbaan. Dalam aksi Moto2, Alex Marquez dari pasukan EG 0,0 Marc VDS meraih kejuaraan kali kedua berturut-turut dengan mengetepikan Luca Marini (SKY Racing Team) di tempat kedua.

Tempat ketiga milik pelumba Switzerland, Thomas Luthi yang mewakil Dynavolt Intact GP.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 10:17 PM
Petrucci terduduk keletihan selepas menjuarai GP Itali. FOTO REUTERS