ADAM perlu manfaat ketiadaan Aidil. FOTO/NSTP
Firdaus Hashim


KETIADAAN tonggak pertahanan berpengalaman, Aidil Zafuan Abd Radzak yang tidak disenaraikan dalam kem Harimau Malaya mahu dimanfaatkan sebaiknya oleh Adam Nor Azlin untuk bergandingan dengan Shahrul Saad yang juga penolong ketua pasukan negara.

Menurut Adam, aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7 dan 11 Jun ini adalah pentas terbaik buatnya untuk melakar nama sekali gus mengisi kekosongan ditinggalkan pemain senior.

“Dalam apa jua perkara saya lakukan, saya akan buat sehabis baik dan untuk latihan pusat kali ini saya mahu merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Ketiadaan Aidil akan saya gunakan bagi menambat perhatian jurulatih, namun saya akui bukan mudah kerana ada lagi pemain lain yang bagus boleh mengisi tempat itu,” kata bekas pemain Selangor itu.

Berdasarkan senarai nama yang dipanggil Tan Cheng Hoe kali ini, saingan lima penjuru bagi merebut posisi pertahanan tengah dijangka berlaku dengan satu tempat sudah pasti menjadi milik Shahrul Saad.

Selain Shahrul, Adam bakal dicabar rakan sepasukannya di Johor Darul Ta’zim (JDT), Dominic Tan, Irfan Zakaria (Kuala Lumpur) dan Rodney Celvin Akwensivie (PKNS FC).

“Persaingan rebut tempat memang sengit. Saya anggap ia persaingan sihat dan berharap dapat memikat hati jurulatih dalam latihan nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 6:20 AM