SKUAD Harimau Malaya menjalani latihan bagi menghadapi Timor Leste.
Firdaus Hashim


TEMPOH latihan seminggu bersama skuad Harimau Malaya mungkin menjadi tempoh paling getir dalam karier penyerang muda kelahiran Pulau Pinang, Mohamad Faisal Abdul Halim atau lebih dikenali dengan gelaran Mickey.

Manakan tidak, dalam tempoh itu dia diberi peluang oleh pengendali negara, Tan Cheng Hoe untuk merebut tempat dalam skuad senior sebelum senarai akhir 23 pemain diumumkan hari ini bagi menghadapi aksi getir berdepan Timor Leste dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jumaat dan Selasa depan.

Dia yang kini bersama Pahang akui enggan melepaskan peluang untuk beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil yang juga adalah penampilan pertamanya bersama skuad senior selepas tiga musim bermain dalam skuad bawah 21 dan 23 tahun negara.

“Sudah tentu ini peluang terbaik saya untuk cuba mengetuk pintu skuad senior tahun ini. Saya akan cuba tunjukkan dalam latihan kemampuan dan berharap terpilih nanti.

“Dalam tempoh beberapa hari, saya akan melakukan latihan penuh, jadi saya akan mencuba sebaik mungkin,” katanya yang memiliki teknik kawalan bola menarik.


MICKEY

Daripada senarai 25 pemain, Cheng Hoe bakal menggugurkan dua nama selepas berakhirnya aksi persahabatan menentang Nepal malam tadi yang juga aksi pemenas badan sebelum melayan kunjungan Timor Leste.

Mengulas mengenai persaingan dalam pasukan ketika ini, pemain berusia 21 tahun itu mengakui saingan merebut posisi depan adalah sukar, namun bertekad untuk mencuba sebaik mungkin.

“Jika melihat kepada senarai pemain yang ada, memang sengit untuk berada dalam senarai akhir 23 pemain. Apa yang penting kena berusaha dan kalau ada rezeki tak ke mana,” katanya.

Selain perlu bersaing dengan rakan sepasukan dari skuad B-23 seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad, cabaran turut hadir daripada pemain senior iaitu Shahrel Fikri Fauzi, Norshahrul Idlan Talaha, Syazwan Zainon dan Mohamadou Sumareh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 6:30 AM