DUA bas bumbung terbuka membawa pemain dan pegawai Liverpool berarak dengan trofi Liga Juara-Juara di seluruh bandar raya. — FOTO EPA
AFP

ACARA sambutan kemenangan Liverpool beralih ke England awal pagi tadi ketika berpuluh-puluh ribu penyokong memenuhi jalan raya untuk meraikan pasukan yang menundukkan Tottenham untuk memenangi final Liga Juara-Juara di Madrid, awal pagi semalam.

Penyokong mengubah Liverpool menjadi lautan merah ketika bas bumbung terbuka membawa jurulatih Juergen Klopp dan pemainnya berarak di seluruh bandar raya itu.

“Anda lihat di mata mereka bagaimana ia terlalu bermakna. Ia luar biasa dan terlalu tegang. Hari ini, wau! Ia gila,” kata Klopp kepada LFC TV.

“Saya tidak mampu menggambarkannya, saya menangis sedikit kerana amat mengujakan apa yang mereka lakukan.


KAPTEN Liverpool, Jordan Henderson dan penyerang Origi memegang trofi Piala Eropah dalam perarakan di sekitar bandaraya Liverpool, awal pagi tadi. — FOTO AFP

“Apabila anda memandang mata mereka dan anda lihat betapa ia terlalu bermakna buat mereka secara jujur ia amat menyentuh hati. Ia mengagumkan.”

Liverpool muncul juara Eropah buat kali keenam apabila gol penalti Mohamed Salah pada minit kedua dan jaringan lewat Divock Origi memastikan kemenangan 2-0 dalam cuaca panas di Stadium Metropolitano, Madrid.

Ia trofi pertama kelab itu dalam tempoh tujuh tahun dan memadam memori kekecewaan kalah di tangan Real Madrid pada final tahun lalu di Kiev.

Kemenangan itu juga satu kejayaan peribadi buat Klopp, yang akhirnya menamatkan rentetan enam kekalahan berturut-turut pada final piala.

Sambutan kemenangan berlarutan hingga ke awal pagi Ahad di ibu negara Sepanyol itu dan di Liverpool, peminat yang teruja dan gembira mabuk di jalanan ketika lagu rasmi kelab itu “You’ll Never Walk Alone” berkumandang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 7:28 AM