WENDY antara tiga atlet didapati positif pada KL2017. — FOTO Aizuddin Saad
BERNAMA

BERSEDIA untuk menghadapi tindakan jika anda didapati menggunakan bahan terlarang sebelum Sukan SEA Filipina 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Dr SS Cheema memberi amaran keras sekiranya mana-mana atlet kebangsaan gagal dalam ujian doping yang akan dijalankan tidak lama lagi.

Beliau memberitahu MOM dengan kerjasama Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) akan menjalankan ujian doping awal sebelum Sukan SEA dengan sukan berisiko tinggi seperti angkat berat, renang, olahraga dan badminton berada dalam pemantauan.

“Kami akan menjalankan ujian doping sebanyak mungkin terutama untuk sukan berisiko tinggi kerana kami mahu mengelakkan atlet negara daripada mengambil bahan terlarang dan kami mengamalkan toleransi sifar mengenai perkara ini.

“Saya harap atlet yang terpilih untuk ke Sukan SEA akan memberikan kerjasama sepenuhnya semasa ujian kerana kami mahu atlet bebas daripada menggunakan bahan terlarang,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Cheema menggesa atlet kebangsaan supaya merujuk kepada pegawai Institut Sukan Negara (ISN) jika mereka ragu-ragu mengenai bahan yang diguna sama ada semasa latihan atau pertandingan.

“Jangan sekali-kali mengambil apa-apa makanan tambahan tanpa merujuk kepada pegawai ISN dan jangan mendengar nasihat orang luar yang menyatakan supplemen ini baik untuk prestasi dan sebagainya,” kata Dr Cheema.


DATUK DR SS CHEEMA

Tiga atlet termasuk penerjun wanita, Wendy Ng didapati menggunakan bahan terlarang semasa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan pingat mereka ditarik balik oleh Persekutuan Sukan SEA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 9:03 AM