KLOPP (tengah) bersama pemain Liverpool berarak bersama trofi Liga Juara-Juara di London.
KLOPP (tengah) bersama pemain Liverpool berarak bersama trofi Liga Juara-Juara di London.
Agensi

LIVERPOOL dilaporkan berminat untuk melanjutkan kontrak jurulatih, Jurgen Klopp selepas beliau berjaya memacu anak buahnya muncul pemenang Liga Juara-Juara.

Lebih 750,000 penyokong menyambut kepulangan pengendali Liverpool itu serta pemainnya selepas mereka menang 2-0 ke atas Spurs di Madrid.

Kontrak semasa Klopp bakal tamat pada 2022 dan kejayaan kali ini membuatkan pengurusan tidak mahu melepaskannya kepada pasukan lain.

Klopp, 51, turut cemerlang di kempen domestik apabila Liverpool hanya tewas sekali tetapi masih gagal muncul juara walaupun mengumpul 97 mata.

“Jurgen adalah seorang jurulatih yang bijak tetapi apa yang lebih penting ialah beliau juga rendah diri dan mengambil berat terhadap pemainnya,” kata pengerusi, Tom Werner.

“Ketika pemain menjulang Jurgen selepas kemenangan itu, mereka sebenarnya mahu semua pihak sedar betapa pentingnya jurulatih itu buat pasukan. Beliau disayangi semua yang ada di dalam pasukan kami.”

Ia adalah trofi utama pertama sejak Klopp tiba di Anfield pada 2015 dan pengurus itu berkata, beliau terkejut dengan sambutan yang diterima pasukannya.

“Saya tidak tahu berapa ramai yang menetap di Liverpool tetapi seolah-olah tidak ada ruang lagi untuk orang lain duduk apabila mereka semua berkumpul,” katanya kepada LFC TV.

“Ia sangat hebat. Jika anda seorang kanak-kanak, apa yang akan anda sokong? Memang banyak pilihan selain Liverpool tetapi kemeriahan seperti ini bukan mudah untuk diraikan pasukan lain.

“Anda lihat sendiri sambutannya. Ia sangat bermakna buat kami semua.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 6:20 AM