IGA melakukan servis menentang Simona pada pusingan keempat Terbuka Perancis. — FOTO AFP
IGA melakukan servis menentang Simona pada pusingan keempat Terbuka Perancis. — FOTO AFP
AFP

PEMAIN Poland, Iga Swiatek diajar subjek pendidikan tenis selama 45 minit oleh juara Terbuka Perancis, Simona Halep lewat malam tadi dan kemudian bergegas kembali ke kolej.

Pemain nombor 104 dunia itu, yang hanya menyambut hari jadi ke-18 Jumaat lalu, kalah 1-6, 0-6 pada perlawanan pusingan keempat yang berat sebelah apabila dia gagal mempertahankan servisnya.

“Ia faktor kekurangan pengalaman dan saya tidak boleh membalas bola di gelanggang tapi saya tetap akan mengingati perlawanan ini,” kata Iga, seorang daripada tiga pemain remaja yang layak ke pusingan 16 terakhir.

“Saya kagum dengan keupayaannya menghantar bola ke arah yang saya tidak jangkakan tapi saya gembira mendapat peluang untuk bertemunya.”

SIMONA mengajar Iga subjek pendidikan tenis dalam tempoh 45 minit. — FOTO EPA
SIMONA mengajar Iga subjek pendidikan tenis dalam tempoh 45 minit. — FOTO EPA

Iga membenam juara Olimpik, Monica Puig dalam laluan ke pusingan 16 terakhir dan mengakui dia berasa agak pelik berkongsi Gelanggang Philippe Chatrier dengan juara bertahan itu.

“Berasa agak pelik menentang seseorang yang anda tonton di TV ketika kecil,” katanya.

“Tapi saya fikir ia tidak langsung terlintas di fikiran saya. Saya kalah kerana tertekan, saya terlepas bola yang tidak pernah terlepas ketika latihan. Saya belajar daripadanya.”

Berikutnya bagi Iga adalah musim gelanggang rumput, namun dia perlu kembali ke bilik kelas terlebih dahulu.

“Saya mempunyai enam ujian sebelum menghadapi musim gelanggang rumput dan saya akan menamatkan pengajian tahun depan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 12:39 PM