RAFIQ (kiri) terpaksa sambut Aidilfitiri di Las Vegas pada 2013 kerana sertai Kejuaraan Dunia.
Nor Hairulnizam Wahid


TAHUN 2018 boleh dianggap tahun paling diingati buat skuad tenpin boling negara.

Pelbagai kejayaan dicapai tahun lalu dan kemuncaknya menerusi Anugerah Sukan Negara, mereka membolot tiga anugerah menerusi Rafiq Ismail yang bergelar Olahragawan 2018, gandingan Adrian Ang-Tun Hakim Tun Hasnul Azam (Pasukan Lelaki Terbaik) dan Holloway Cheah (Jurulatih Lelaki Terbaik).

Sempena Aidilfitri tahun ini, Arena Metro menghimpunkan empat atlet boling yang kini menempa nama di pentas antarabangsa.

Selain Rafiq, turut sama adalah Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Ahmad Muaz Fishol dan Natasha Roslan berkongsi pengertian Aidilfitri selain bercerita pengalaman beraya ketika mengikuti kejohanan di perantauan.

Bagi Muaz, juara Terbuka Malaysia baru-baru ini Aidilfitri lebih bermakna apabila dapat meraikannya bersama keluarga.

“Kami meraikan kemenangan selepas berpuasa selama sebulan dalam keadaan penat kerana latihan dan sebagainya. Bagi saya ia satu kejayaan,” kata Muaz yang akan pulang ke kampung halamannya di Pendang, Kedah.

Siti Safiyah yang mengungguli Kejohanan Terbuka Thailand, April lalu menyifatkan Aidilfitri peluang terbaik dapat bertemu dengan keluarga dan saudara mara yang sudah lama tidak berjumpa.

“Kami dapat makan bersama, berbual dan bercerita tentang situasi terkini dan perkembangan masing-masing,” katanya menggemari rendang untuk juadah di pagi Syawal.

Namun tidak sah bercerita mengenai Aidilfitri tanpa menyentuh mengenai pengorbanan yang dilalui mereka sebagai atlet. Ada kalanya mereka terpaksa menahan sayu demi bakti pada negara.

“Pada 2013 saya berada di Las Vegas untuk menyertai Kejuaraan Dunia dan ketika saya baru berusia 16 tahun. Ketika itu memang terasa jauh dari keluarga,” kata Rafiq yang mencipta sejarah muncul juara Kejuaraan Dunia Disember lalu.

“Sebagai atlet kami terpaksa korbankan masa. Alhamdulillah tahun ini saya dapat beraya bersama keluarga,” jelas Rafiq yang menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur.

Lebih manis bagi Siti Safiyah apabila menjulang kejuaraan Terbuka Wichita, salah satu kejohanan Jelajah PWBA di Amerika Syarikat, yang berlangsung ketika Aidilfitri dua tahun lalu.

“Saya menang pada Hari Raya 2017, itu kenangan paling manis, rasa macam nak menangis dan gembira pada masa sama.

“Sedih kerana tidak dapat bersama keluarga dan gembira apabila dapat memberikan khabar gembira pada Hari Raya.”

Menurut Natasha, juara remaja dunia 2016, dia mengakui sedih apabila dua kali menyambut 1 Syawal di Amerika Syarikat untuk Jelajah PWBA.

“Memang sedih sebab dari kecil memang tidak berpisah dengan keluarga, jadi saya meraikannya bersama rakan sepasukan yang bagaikan keluarga bagi saya,” katanya yang berhari raya di Subang tahun ini.

“Malah dengan teknologi kami dapat ‘beraya’ bersama keluarga di kampung halaman dan ada yang membawa juadah dari Kuala Lumpur untuk dinikmati bersama.”

Muaz yang pernah beraksi di Kejohanan Terbuka Macau dan Kejohanan Jelajah Profesional di AS ketika lebaran pula mengakui perkara yang menyedihkannya adalah tidak dapat bersembahyang sunat di pagi Syawal bersama keluarga dan terlepas peluang menikmati makanan kegemarannya, nasi impit dan ketupat kacang.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai lagu kegemaran ketika menyambut lebaran, ketiga-tiga Siti Safiyah, Natasha dan Muaz meminati dendangan Anuar Zain dan Ellina Razak, Suasana Hari Raya sementara Rafiq menyenangi lagu raya klasik daripada Sudirman, M Nasir dan Siti Nurhaliza.

Keempat-empat mereka turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin kepada keluarga, rakan dan seluruh rakyat Malaysia. “Bagi mereka yang pulang ke kampung, berhati-hati dalam perjalanan,” kata Natasha mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 6:10 AM