Cheng Hoe memberi taklimat kepada pemainnya pada sesi latihan persiapan skuad negara. FOTO NSTP.
Syazwan Msar


PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak menyesal memilih pertahanan kiri negara, Lavere Corbin Ong apabila pemain berkenaan dilihat memberi impak kepada pasukan Malaysia selain mampu mengawal bahagian tengah.

Cheng Hoe berkata, Corbin Ong mampu menyelesaikan beberapa masalah di posisi tertentu skuad Harimau Malaya malah kehadirannya memberi kesan positif terutama pada aksi persahabatan antarabangsa kelas A di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu.

Katanya, dia sedia maklum sebelum ini ada beberapa pihak yang mempersoalkan keupayaan pemain terbabit dipilih membarisi skuad Harimau Malaya berikutan aksinya bersama Malaysia kurang memberangsangkan.

Cobain Ong

“Barisan kejurulatihan memilih dia kerana pemain terbabit ada kelebihan yang mampu membantu skuad kebangsaan mengekang asakan lawan.

“Corbin Ong juga menunjukkan semangat juang tinggi dan mampu merencanakan strategi yang diterapkan dalam skuad kebangsaan. Jadi kami pilih pemain dengan teliti serta mengikut kesesuaian,” katanya.

Kehadiran Corbin Ong dalam skuad negara jelas berjaya menambah kekuatan pasukan khususnya di bahagian pertahanan yang dilihat sebagai pengganti terbaik buat tonggak senior seperti S Kunanlan yang beraksi di posisi itu sebelum ini.

Dalam aksi bertemu Nepal Ahad lalu, dia bermain selama 65 minit sebelum digantikan Syazwan Andik dengan dia kerap naik ke atas menerusi larian-larian derasnya membuatkan kelibatnya tampak cukup meyakinkan untuk disandarkan harapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 1:28 PM