Divock Origi. FOTO File Reuters.
Divock Origi. FOTO File Reuters.
Reuters

HERO Liverpool yang menjaringkan gol Liga Juara-Juara, Divock Origi berharap dia dapat kekal di kelab itu namun mengakui hari ini belum mengetahui nasibnya di Anfield.

Penyerang Belgium itu menjaringkan gol kedua ketika pasukannya mencatat kemenangan 2-0 ke atas Tottenham Hotspur pada final di Madrid pada awal pagi Ahad lalu.

Dia sedang melakukan persediaan buat negaranya menjelang aksi kelayakan Euro 2020 menentang Kazakhstan pada Sabtu dan Scotland minggu depan.

“Saya tidak tahu sama ada saya akan kekal (di Liverpool) namun tumpuan saya kini pada dua perlawanan bersama the Red Devils dan selepas itu saya akan memikirkan masa depan dan membuat keputusan,” katanya pada sidang media.

“Saya tidak mahu bercakap banyak mengenai masa depan saya buat masa ini, namun Liverpool mengetahui kualiti saya dan kelab berkenaan sudah memberikan tawaran melanjutkan kontrak sebelum ini. Ia adalah langkah pertama.”

Origi mempunyai baki satu tahun berdasarkan kontrak semasa, bermakna ada kemungkinan dijual sebelum boleh meninggalkan kelab dengan percuma pada hujung musim depan.

“Saya berasa selesa di Liverpool dan saya fikir ia amat penting. Dalam pada itu, kami mempunyai Juergen Klopp sudah pasti antara jurulatih terbaik.

“Sudah pasti saya mempunyai sasaran peribadi dalam fikiran namun saya mengutamakan pasukan terlebih dahulu.”

Origi terpaksa bergelut untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan sama ada peringkat kelab dan negara namun kelebihannya baru berusia 24 tahun.

“Saya mempunyai lebih banyak pengalaman daripada kebanyakkan pemain pada usia saya dan ia membuatkan saya lebih matang. Saya hanya fokus kepada isu penting dan saya tahu saya boleh pergi lebih jauh. “Namun saya gembira dengan pengalaman yang saya lalui,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 10:03 PM