Ronaldo meraikan jaringan ketika bertemu Switzerland pada aksi Liga Negara-Negara Eropah. FOTO EPA.
Ronaldo meraikan jaringan ketika bertemu Switzerland pada aksi Liga Negara-Negara Eropah. FOTO EPA.
AFP

PENGURUS Portugal, Fernando Santos memuji aksi Cristiano Ronaldo yang dilabelkan 'genius bola sepak' selepas penyerang itu meledak hatrik ke-53 kariernya untuk memastikan Portugal menyingkirkan Switzerland, 3-1 sekali gus mara ke final Liga Negara-Negara Eropah, awal pagi ini.

Selepas Ronaldo membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma pada minit ke-25, tuan rumah berpeluang menggandakan kelebihan tetapi dihalang Penolong Pengadil Video (VAR) apabila pengadil, Felix Brych enggan menganugerahkan mereka penalti.

Jaringan penalti yang disempurnakan Ricardo Rodriguez pada babak kedua perlawanan mengikat kedudukan 1-1 yang hampir mengheret aksi ke masa tambahan.

Ronaldo membuktikan sentuhan penyudah berkesan apabila meledak dua lagi gol lewat di akhir permainan untuk bertemu sama ada England atau Belanda di final.

"Saya adalah jurulatihnya pada 2003 dan saya boleh lihat di mana dia akan berada," kata Santos. "Dia genius. Ada orang genius dalam lukisan dan ukiran dan dia adalah genius bola sepak."

Portugal mara ke peringkat empat terbaik tanpa kelibat penjaring terbanyak mereka itu apabila Ronaldo membuat keputusan untuk berehat selepas kekecewaan di Piala Dunia selain memberi tumpuan pada musim pertamanya di Juventus.

Namun begitu, pemenang lima kali anugerah Ballon d'Or kembali kancah antarabangsa pada Mac lalu dan kembali mencuri tumpuan pada hari di mana tuduhan rogolnya dilaporkan digugurkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2019 @ 3:10 PM