Cheng Hoe mahu pemain fokus pada perlawanan menentang Timor Leste. FOTO Aziah Azmee.
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak mahu masalah padang terus membelenggu skuad kebangsaan selain mahu anak buahnya terus fokus mengharungi perlawanan menentang Timor Leste esok.

Cheng Hoe berkata, pertemuan menentang Timor Leste pada kali ini cukup mencabar dengan perlawanan diadakan pada Hari Raya Aidilfitri sekali gus tidak mahu perkara terbabit mempengaruhi pemain.

Katanya, pemain mengetahui tanggungjawab masing-masing dan mereka tetap menjalani latihan seperti biasa tanpa sebarang masalah walaupun terpaksa mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Saya juga mengharapkan cuaca baik dan keadaan padang sudah diperbaiki kerana perkara ini juga mempengaruhi persembahan pemain nanti.

“Pada masa sama, pemain turut memahami tanggungjawab mereka yang terpaksa melupakan seketika sambutan hari raya demi menggalas cabaran negara,” katanya, ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.


Cheng Hoe (dua, kiri) memantau pemainnya menjalani latihan. FOTO Bernama.

Malaysia menduduki ranking ke-168 dunia, perlu mencatatkan kemenangan agregat ke atas Timor Leste untuk mara ke pusingan kedua kempen kelayakan itu, yang bakal menyaksikan pertembungan antara 40 pasukan terbaik Asia untuk memburu tiket kelayakan ke Piala Dunia 2022 di Qatar dan Piala Asia 2023 di China.

Terdahulu, skuad Harimau Malaya mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Nepal pada perlawanan persahabatan Ahad lalu sebelum kembali meneruskan latihan semalam, selepas meluangkan masa bersama keluarga selama dua hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2019 @ 7:26 PM