CHENG Hoe.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu anak buahnya mengekalkan corak permainan bertenaga menentang Timor Leste malam ini sama seperti ketika menewaskan Nepal, Ahad lalu.

Begitupun, jurulatih berpengalaman itu menegaskan pemainnya tidak sesekali memandang mudah pasukan lawan yang disifatkan semakin meningkat mutu permainan.

Katanya, sepanjang lebih seminggu menjalani latihan, beliau kagum apabila semua pemain begitu komited.

“Kita bermain dengan baik ketika menentang Nepal pada 2 Jun lalu dan ia perlu diteruskan. Pada masa sama kita tidak boleh terlalu yakin menentang Timor Leste kerana mereka juga melakukan persiapan rapi di sini sejak beberapa hari lalu.

“Saya yakin ketua jurulatih mereka tahu kekuatan dan kelemahan kita. Jadi kita perlu fokus dengan corak permainan dan bermain dengan penuh keyakinan,” katanya pada sidang media pra perlawanan Malaysia menentang Timor Leste, di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Ditanya keadaan cuaca tidak menentu kebelakangan ini dan masalah padang Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menjejaskan mutu permainan Harimau Malaya, Tan berkata, beliau bersedia dengan Plan B termasuk menukar taktikal.

“Kita tunggu dan lihat bagaimana keadaan padang esok (hari ini). Seperti sedia maklum, pemain kami yang bermain di Liga Malaysia juga hadapi keadaan padang tidak begitu baik di sesetengah stadium.

“Jadi, saya rasa kami perlu fleksibel dan menyesuaikan ikut keadaan padang.

“Sudah pasti saya mengharapkan cuaca dan keadaan padang lebih baik berbanding ketika perlawanan menentang Nepal,” katanya lagi.

Skuad negara dilihat bergelut dengan keadaan padang yang buruk ketika menewaskan Nepal, 2-0 tempoh hari.

Malaysia yang menghuni ranking ke-168 dunia perlu menang secara agregat ke atas Timor Leste untuk mara ke pusingan kedua kelayakan membabitkan pertembungan 40 pasukan terbaik Asia untuk memburu kelayakan ke Piala Dunia 2022 di Qatar dan Piala Asia 2023 di China.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 6:20 AM