GERVINHO dan Iheanacho (kiri) tidak disenarai dalam 23 pemain skuad masing-masing untuk Piala Negara Afrika bermula 21 Jun ini. FOTO Zimbio
AFP

BINTANG Ivory Coast Gervinho dan Kelechi Iheanacho dari Nigeria adalah antara nama besar yang tercicir apabila 11 jurulatih menamakan senarai 23 pemain skuad masing-masing untuk Piala Negara Afrika di Mesir bermula 21 Jun ini.

Pemain sayap Gervinho, 32, pemain veteran yang beraksi dalam lima edisi Piala Negara Afrika berharap aksi menakjubkannya bersama kelab Seria A Parma membolehkannya dipanggil.

Bekas pemain Arsenal dan Roma - nama sebenarnya Gervais Yao Kouassi - menjaringkan 11 gol dan membantu empat jaringan dalam 30 perlawanan liga Itali itu musim lalu.

Antara menjadi sandaran jurulatih Ivory Coast Ibrahim Kamara untuk meledak jaringan di Mesir adalah Nicolas Pepe, naib juara kepada bintang Perancis Kylian Mbappe dalam saingan Kasut Emas Ligue 1 2018/2019.

Bintang Crystal Palace Wilfried Zaha dan pemain tanpa kelab and Wilfried Bony, yang meledak dua gol ketika menang 3-1 ke atas Comoros pada aksi pemanas badan adalah antara pilihan Ivory Coast di bahagian serangan.

Gervinho kelihatan tenang menerima perkhabaran itu manakala segelintir penyokong Ivory Coast kecewa dengan penyingkirannya, ketika pasukan bersiap sedia menentang Afrika Selatan, Namibia dan Morocco di peringkat kumpulan.

“Kepada penyokong Ivory Coast, saya tidak tahu bagaimana untuk berterima kasih kepada anda atas mesej sokongan dan perhatian yang saya terima sejak panggilan pertama,” katanya menerusi media sosial.

“Menerima video, foto dan komen kebelakangan ini sedikit sebanyak melegakan hati saya.

“Semua ini meringankan kekecewaan tidak dipilih menyertai pasukan yang akan mempertahankan bendera kami di Piala Negara Afrika di Mesir.”

Penyingkiran penyerang Iheanacho berlaku selepas jurulatih Nigeria kelahiran Jerman Gernot Rohr mempersoalkan sikap penyerang Leicester City itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 10:30 AM