SHAHREL (nombor 10) menanduk masuk gol ketika menentang Timor Leste di Bukit Jalil, malam ini. — FOTO Aziah Azmee
Firdaus Hashim


HARIMAU Malaya jelas berada dalam kelas tersendiri apabila sekali lagi ‘mengganas’ di Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan meratah Timor Leste 5-1 pada aksi kedua playoff Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, malam ini.

Kemenangan bermakna itu turut menyaksikan anak buah Tan Cheng Hoe merakam agregat besar 12-2 selepas membelasah lawan 7-1 pada aksi pertama di gelanggang sama, Jumaat lalu.

Keputusan itu membolehkan pasukan negara mara ke kelompok 40 pasukan terbaik Asia untuk berentap pada peringkat kumpulan kelayakan dari September hingga Jun tahun depan.

Timor Leste yang memerlukan keajaiban untuk memadam kelebihan enam gol dilihat bukan tandingan sebenar Harimau Malaya yang berjaya menyaingi lawan di segenap sudut dengan penyerang Perak, Shahrel Fikri Fauzi meledak hatrik pertamanya di pentas antarabangsa.


AKHYAR (kanan) turut menyumbang satu gol malam ini. — FOTO Aziah Azmee

Pada aksi itu, Cheng Hoe melakukan empat pertukaran dengan menyenaraikan Ifwat Akmal Chek Kassim selaku penjaga gol serta Syazwan Andik, Akhyar Rashid dan Shahrel dalam kesebelasan utama.

Seperti aksi pertama sebelum ini, Malaysia perlu menunggu hingga minit ke-10 untuk memulakan pesta gol apabila Shahrel mudah menolak masuk sebelum bekas penyerang kelab Nakhon Ratchasima di Liga Thailand itu menambah gol kedua menerusi tandukan susulan sepakan sudut tujuh minit kemudian.

Lawan yang dibimbing pengendali dari Jepun, Norio Tsukitate berpeluang merapatkan kedudukan pada minit ke-30 namun sepakan penalti yang diambil kapten Joao da Silva Freitas berjaya ditampan Ifwat.

Bintang naturalisasi pertama Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh menamatkan kemarau jaringan sejak November lalu apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-36 selepas menyambut baik hantaran Syazwan.


PEMAIN negara, Nor Azam Azih (tengah) diasak pemain Timor Leste, Filomeno Junior Da Costa (kiri) dan Danilson Conceicao Araujo. — FOTO Aziah Azmee

Rentak cemerlang pasukan negara diteruskan pada babak kedua dengan Akhyar mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-55 yang juga gol ketiganya dalam 16 penampilan bersama skuad senior sejak 2018.

Shahrel seharusnya mencatat hatrik lebih awal namun sepakan penalti yang diambilnya pada minit ke-59 diselamatkan penjaga gol Fernandes Aderito Raul.

Bagaimanapun dia menebus kesilapannya empat minit kemudian untuk menjaringkan gol kelima negara.

Gol sagu hati Timor Leste bagaimanapun berjaya dihasilkan menerusi rembatan Rufino Walter Gama pada minit ke-71.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 10:52 PM