JILL (kanan) menanduk masuk dari jarak dekat pada minit ke-92 di Le Havre. — FOTO EPA
AFP

JILL Roord tampil dari bangku simpanan sebelum menanduk masuk dari jarak dekat pada masa kecederaan untuk memberikan Belanda kemenangan 1-0 ke atas New Zealand pada aksi Piala Dunia Wanita di Le Havre, Perancis, malam ini.

Kemenangan itu membolehkan Belanda, juara Eropah, melonjak ke puncak carta di samping Kanada dalam Kumpulan E.

Football Ferns, mantap di benteng pertahanan dan berbisa ketika melakukan serangan balas pantas, terpaksa akur dengan kekalahan itu.

Bintang perlawanan menarik itu adalah dua penjaga gol, Sari van Veenendaal buat Belanda dan Erin Nayler (New Zealand).

Kedua-duanya sibuk mengawal kubu masing-masing dan menjalani rawatan di tengah padang selepas beberapa kali melakukan tindakan penyelamat berani.

Belanda menguasai pegangan bola dan percubaan ke arah gol namun New Zealand berjaya mencipta tiga peluang berbahaya yang bagaimanapun gagal disempurnakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 11:58 PM