Kamal Azizi sedia kekang pergerakan serangan Melaka. FOTO NSTP
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


PEMAIN pertahanan kental Terengganu FC (TFC), Kamal Azizi Mohd Zabri sedia mengekang rangkaian penyerang Melaka daripada bergerak bebas apabila kedua-dua pasukan itu bertemu pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini.

Malah, pemain mesra dipanggil 'Ayah' itu mahu melukakan impian skuad kendalian Zainal Abidin Hassan biarpun beraksi di hadapan penyokong setia mereka.

"Selepas berehat panjang sempena Aidilfitri, kami sudah bersedia sepenuhnya bertemu Melaka dalam misi untuk mengutip tiga mata.

"Bagi saya sendiri, harap dapat memberikan aksi lebih 100 peratus, bermain seperti mana yang jurulatih arahkan kerana kami mahu mencatat kemenangan bagi memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

"Jika menang 1-0 pun sudah bermakna bagi kami sebagai pasukan pelawat. Apa lebih penting adalah tiga mata sekali gus mengulangi kemenangan 3-0 pada aksi pusingan pertama bertemu skuad sama itu di Kuala Terengganu pada Mac lalu," kata pertahanan kanan berasal dari Ajil, Kuala Berang itu.

Ditanya peluangnya untuk terus kekal sebagai pemain utama, Kamal menyerahkan keputusan itu kepada barisan jurulatih untuk menentukannya.

"Bagi saya, seseorang pemain diturunkan dalam kesebelasan utama adalah berdasarkan percaturan jurulatih.

“Mungkin kali ini saya beraksi dan mungkin perlawanan lain pemain lain pula bermain, tapi yang penting kami tekad pamerkan aksi terbaik setiap kali diturunkan," katanya yang memasang impian mahu mewakili skuad kebangsaan satu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 2:30 PM