Wan Zufirah (kanan) akan sertai TUDM. FOTO Majlis Sukan Negara (MSN)
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


SKUAD ragbi tujuh sebelah wanita kehilangan pemain bahagian serangan yang menarik diri daripada pasukan untuk memasuki perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pemain terbabit, Wan Zufirah Mohd Nasir,26, bakal melapor diri pada 16 Jun ini bagi mengikuti kursus asas pegawai tentera di Akademi Tentera Udara Alor Setar, Kedah selama sembilan bulan.

Wan Zufirah ketika dihubungi mengakui terkilan tidak dapat mewakili negara khususnya untuk misi memburu pingat perak pada temasya Sukan SEA Manila penghujung tahun ini.

Begitupun katanya, demi masa depan yang terjamin dia terpaksa memilih kerjaya berbanding sukan ragbi.

"Memang agak terkilan tidak dapat mewakili Malaysia untuk Sukan SEA tahun ini dan kejohanan Siri Tujuh Sebelah Asia buat pertama kali pada September nanti.

"Namun, saya perlu fikirkan soal masa depan dan kerjaya yang terjamin jika berlaku apa-apa dalam sukan ragbi.

"Alhamdulillah, pengurusan pasukan dan keluarga menggalakkan saya mengikuti kursus ini," katanya.

Wan Zufirah berkata, dia menyertai skuad bimbingan Nik Safuan Ismade Nik Man itu pada Sukan SEA 2017 dan membantu Malaysia memenangi pingat gangsa buat pertama kalinya.

"Harapan saya rakan sepasukan melakukan yang terbaik pada sukan SEA nanti serta kejohanan tujuh sebelah Asia," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan, Tan Thiam Jin berkata, tempat Wan Zufirah akan diisi beberapa pemain sedia ada dalam pasukan.

"Wan Zufirah antara pemain berpengalaman dan banyak membantu dalam pasukan. Namun, kami perlu realistik demi masa depannya yang lebih terjamin.

"Sebab itu kita galakkan dan menyokong dia ambil peluang mengikuti kursus pegawai tentera TUDM. Jika tidak pergi sekarang, dia tidak ada peluang lagi," katanya.

Skuad wanita yang juga dikenali Panthera Ladies akan beraksi di kejohanan ragbi Pirika Moshiri Tujuh Sebelah di Sapporo Jepun, pada 15 dan 16 Jun ini dan pertandingan kelab ragbi tujuh sebelah di Singapura pada 22 dan 23 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 2:51 PM