Dollah (tengah) kehilangan khidmat tiga tonggak digantung satu perlawanan. FOTO NSTP


SKUAD Pahang akan bertandang ke Stadium Darul Aman, Alor Setar bertemu Kedah Jumaat ini tanpa tiga tonggak.

Mereka adalah dua pemain pertahanan, Herold Goulon serta Mohd Faisal Rosli dan pemain tengah, Mohamadou Sumareh yang digantung satu perlawanan selepas mengutip tiga kad kuning.

Pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, walaupun tanpa kehadiran tiga pemain terbabit, skuad kendaliannya sedia mengejutkan pasukan tuan rumah.

"Setakat ini, saya boleh sahkan Goulon, Faisal dan Sumareh tidak akan bersama kita di Alor Setar kerana masing-masing mengutip tiga kad kuning dan digantung satu perlawanan.

"Namun, saya tidak nampak ketiadaan mereka bertiga akan menyukarkan peluang mencatatkan kemenangan.

"Sesi latihan dijalankan selepas Aidilfitri menunjukkan kesungguhan semua pemain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama, jadi saya percaya mereka boleh memikul tanggungjawab perlawanan itu nanti,” katanya.

Sepanjang musim ini, tiga pemain terbabit sentiasa menjadi pilihan utama Dollah.

Beliau yakin kemampuan kapten pasukan, Matthew Davies bersama Nor Azam Azih, Norshahrul Idlan Talaha dan Faisal Halim meneruskan cabaran Pahang dalam mengekalkan kedudukan dalam Liga Super dan mara lebih jauh dalam saingan Piala FA.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 4:41 PM