Hafizh belum buat sebarang keputusan masa depan. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


DI sebalik pelbagai khabar angin berhubung masa depannya, pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui masih belum membuat sebarang keputusan mengenai perjalanan kariernya selepas ini.

Jelas Hafizh, pelbagai kemungkinan boleh berlaku, sama ada dia akan kekal beraksi di kelas MotoGP atau pun kembali beraksi di saingan Moto2.

Pelumba Red Bull KTM Tech 3 itu bagaimanapun tidak berdepan masalah sekiranya kembali beraksi di Moto2 andai benar tiada tempat di saingan MotoGP musim depan.

"Ada baik ada buruk. Keburukannya mungkin saya tak dapat teruskan pengalaman di MotoGP tetapi saya sudah beraksi selama dua musim penuh.

"Tak salah kalau sekiranya saya kembali ke Moto2 dan mencari semula momentum. Mungkin daripada langkah itu, saya akan meraih keputusan yang baik dan kemudian dapat kembali semula ke MotoGP bersama pasukan yang mempunyai pakej lebih baik," katanya.

Hafizh bagaimanapun menafikan pasukannya ketika ini gagal memberikan pakej terbaik.

"Saya tidak kata pasukan ketika ini tak dapat beri pakej terbaik tetapi saya yang tak dapat serasi lagi dengan jentera KTM.

"Yang pasti saya lebih tahu berbanding orang luar. Tak salah kalau saya ambil keputusan turun ke Moto2 atau pun cuba kekal di MotoGP.

"Buat masa ini, saya masih belum memikirkannya lagi. Masih 50-50 untuk kekal di MotoGP atau tidak," katanya.

Berikutan prestasi yang kurang memberangsangkan musim ini, timbul pelbagai spekulasi berhubung masa depannya termasuk dikatakan mungkin akan kembali beraksi di saingan Moto2 musim depan.

Selepas enam pusingan, Hafizh baru mengutip dua mata.

Perlumbaan seterusnya akan berlangsung hujung minggu ini di Grand Prix Catalunya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 5:12 PM