GUNDOGAN (tiga kanan) meraikan gol keempat menerusi sepakan penalti pada aksi kelayakan Euro 2020 menentang Estonia di Mainz, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

PEMAIN tengah Manchester City, Ilkay Gundogan menyatakan dia menemui kembali keseronokan bermain untuk Jerman selepas menerima tepukan bukannya ejekan oleh penyokong tuan rumah.

Gundogan, 28, menerima tepukan gemuruh oleh peminat tuan rumah selepas dia mengemudi kemenangan besar 8-0 Jerman ke atas Estonia pada aksi kelayakan Euro 2020 di Mainz, awal pagi tadi.

Ia jauh berbeza dengan setahun lalu, apabila Gundogan dicemuh oleh penyokong Jerman ketika aksi persahabatan menjelang Piala Dunia menentang Arab Saudi di Leverkusen selepas dia dan rakan sepasukan Mesut Ozil dilihat bergambar dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Mei 2018.

Gundogan seperti Ozil enggan memohon maaf susulan gambar kontroversi itu berkata, tepukan diterimanya di Mainz awal pagi tadi, apabila dia dikeluarkan selepas menyempurnakan sepakan penalti babak pertama, membantu memulihkan luka 2018.


PASUKAN berwajah baharu Jerman menentang Estonia, awal pagi tadi. Gundogan di barisan depan dua dari kanan. — FOTO AFP

“Ia amat bagus dan ia menggembirakan saya, terutama selepas apa yang berlaku pada musim panas lalu,” katanya kepada wartawan selepas perlawanan itu.

“Bukan hanya saya – kami mengharungi masa-masa sukar bersama Jerman.”

Pemain senior lain seperti Thomas Mueller, Jerome Boateng dan Mats Hummels digugurkan daripada pasukan kebangsaan untuk memberi laluan kepada generasi baharu sejak kegagalan Piala Dunia.

Bagaimanapun jurulatih Joachim Loew masih yakin Gundogan mampu memberi sumbangan kepada skuad Die Mannschaft.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 11:26 PM