MENDY (kanan) ketika beraksi bersama Perancis ketika menentang Andorra pada aksi kelayakan Euro 2020, kelmarin. - FOTO AFP
Reuters

REAL Madrid menandatangani pertahanan kiri Perancis, Ferland Mendy dari Olympique Lyonnais dengan yuran perpindahan 48 juta euro (RM225.425 juta) dalam usaha memperkasakan cabaran mereka musim depan.

Perpindahan terbaharu itu yang disahkan kedua-dua kelab melonjakkan bajet perpindahan musim panas Real kepada 300 juta euro (RM1.408 bilion) selepas musim 2018-19 berakhir tanpa sebarang trofi walaupun dikendalikan tiga jurulatih dalam tempoh itu.

Real turut berjaya mengikat kontrak dengan penyerang Belgium dari Chelsea, Eden Hazard dengan harga 100 juta euro (RM469 juta) selain penyerang Serbia, Luka Jovic dari Eintracht Frankfurt, pemain Brazil, Rodrygo (Santos) dan pertahanan tengah, Eder Militao dari Porto.

Mendy, 24, yang mengikat kontrak enam tahun menyertai Lyon dari Le Havre pada 2017 dan melakukan 79 penampilan, menjaringkan tiga gol dan tujuh bantuan jaringan.

Dia beraksi empat kali bersama skuad kebangsaan Perancis sejak penampilan sulung pada November lalu dalam aksi persahabatan menentang Uruguay.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 7:17 AM