Akhyar mahu pastikan posisi sayap kiri miliknya. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


PENYERANG muda negara, Muhammad Akhyar Rashid bersedia memikul tanggungjawab lebih besar bersama skuad Harimau Malaya dengan memastikan posisi sayap kiri kekal menjadi miliknya selepas ini.

Akhyar, 20, yang menyumbang satu gol ketika membantu pasukan negara menundukkan Timor Leste 5-1 dalam aksi kedua pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Selasa lalu berjaya menampilkan aksi mantap sepanjang 90 minit permainan dengan kelibatnya sukar dikekang pertahanan lawan.

Malah, pada aksi pertama kelayakan turut menyaksikan dia mencetak nama selaku penjaring biarpun hanya masuk sebagai pemain gantian ketika pasukan meraih kemenangan 7-1 ke atas Timor Leste sekaligus meraih agregat besar 12-2 untuk mara ke pusingan kedua kelayakan.

"Saya sangat berterima kasih untuk jurulatih dan semua kerana bagi peluang pada saya (mengisi kesebelasan utama) pada perlawanan kelmarin.

"Atas kepercayaan itu, alhamdulillah saya dapat berikan aksi terbaik.

Saya sangat terharu sebab semua beri komitmen 100 peratus bagi memastikan kita ke pusingan berikutnya.

"Bagi saya kalau jurulatih sedia nak letak saya (kesebelasan utama), saya dah sedia untuk bermain," katanya pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.

Sebelum ini, Akhyar sering menjadi 'watak pembantu' dalam jentera serangan negara apabila kerap diturunkan sebagai pemain gantian bagi menghidupkan bahagian itu terutama pada babak kedua.

Bagaimanapun, pengendali pasukan Tan Cheng Hoe membuat kejutan pada aksi timbal balik menentang Timor Leste dengan nama pemian kelahiran Kedah itu mengisi kesebelasan utama menggantikan Syazwan Zainon yang direhatkan.

Adik kepada bekas pemain kebangsaan, Rafdi Rashid itu jelas tidak mensia-siakan peluang keemasan itu apabila memperagakan aksi terbaik dengan dia turut meledak gol untuk membalas kepercayaan Cheng Hoe.

Katanya, Cheng Hoe sentiasa berpesan kepadanya supaya mengekalkan prestasi dan cuba merebut tempat dalam pasukan JDT.

"Jurulatih banyak kali pesan pada saya untuk perlawanan akan datang selalu cukup rehat, kekalkan kecergasan dan buat apa yang patut untuk perlawanan akan datang dan juga di JDT," katannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 4:15 PM