Pertembungan Chong Wei (kiri) dan Lin Dan disifatkan antara paling sengit dalam sejarah badminton. FOTO NSTP/AFP/Olympics
Ferzalfie Fauzi


PERSARAAN Datuk Lee Chong Wei dalam arena badminton bukan saja mendapat perhatian daripada penggiat dan peminat sukan berkenaan di seluruh dunia tapi turut menarik minat serta diberi pengiktirafan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Sempena persaraan rasmi Chong Wei kelmarin, IOC melalui akaun Twitter, Olympics mengeluarkan video penghormatan khas buat bekas pemain nombor satu dunia itu yang berdurasi satu minit 40 saat.

"Terima kasih di atas inspirasi Lee Chong Wei. Diucapkan selamat maju jaya," kata Olympics dalam status berkenaan.

Video berkenaan memaparkan perseteruan Chong Wei dan Lin Dan di Sukan Olimpik Beijing 2008, London 2012 serta Rio 2016.

Ia mengimbau kembali perlawanan akhir antara kedua-dua legenda ini di Beijing dan London sebelum Chong Wei berjaya menumpaskan Lin Dan di pentas Olimpik buat kali pertama di separuh akhir di Rio 2016.

Olympics menganggap Chong Wei dan Lin Dan bukannya musuh tapi seteru di dalam gelanggang selepas sentiasa mempamerkan aksi epik di temasya berkenaan.

Selain berkongsi video berkenaan, peminat turut memberi komen bahawa kedua-dua pemain perseorangan lelaki ini adalah legenda dalam sukan badminton.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 8:01 PM