PEMAIN Kedah, David Rowley (dua dari kanan) dikawal pemain Pahang, Muhammad Zubir Azmi (kanan) pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman. -Foto AMRAN HAMID
Izzali Ismail


KETUA jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak mengakui keputusan seri tanpa jaringan yang hasilkan skuadnya pada perlawanan Liga Super menentang Pahang semalam bukanlah antara perlawanan terbaik ditampilkan Kedah.

Namun pengendali dari Singapura itu tetap optimis skuadnya mampu membentuk peningkatan dengan memperbaiki beberapa kesilapan dan mengambil pengajaran daripada kelemahan mereka.

“Ini bukanlah permainan yang terbaik bagi Kedah tapi saya tetap berpuas hati kerana tidak berputus asa dalam melancarkan serangan mencari gol terutama 15 minit akhir perlawanan,” kata Aidil.

“Kami memiliki beberapa peluang gagal memanfaatkan gol dan inilah bolasepak kadangkala kesilapan berlaku dan kita gagal melangkapkan percubaan yang dilakukan sedangkan Fadzrul Danel, Zaquan Adha dan Fernando Rodriguez berada diruang yang hampir mendapatkan gol.

“Pada keseluruhan, kami memberi tekanan yang diharapkan pada babak pertama dan kemudian pasukan lawan kembali bangkit dan kita kembali meneruskan rentak serangan seterusnya hingga hujung perlawanan.”

Aidil bagaimanapun boleh menarik nafas lega kerana dijangkakan Kedah kembali mendapat tenaga penuh pemain untuk berdepan PKNS FC selasa depan kerana tiga pemainnya kini sudah bebas dari penggantungan.

“Kami jangkakan jika tiada kecederaan, kami akan kembali mendapat skuad yang penuh dengan kembalinya Jonatan Bauman, Rizal Ghazali dan Azmeer Yusof ke dalam pasukan.

“Jika sebelum ini disebabkan kecederaan dan penggantungan, kami hanya mendapat skuad penuh untuk tiga atau empat perlawanan dan saya berharap ketika berdepan PKNS nanti, tiada pemain yang cedera untuk skuad yang lengkap.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 12:45 PM