PEMAIN Kedah Muhammad Fayadh (kiri) dan Renan Alves (dua dari kanan) cuba menyekat kemaraan Nwakaeme dalam perlawanan Liga Super Kedah bertemu Pahang di Stadium Darul Aman. -Foto BERNAMA
Izzali Ismail


KETUA Jurulatih Pahang Dollah Saleh yakin dua tonggak serangan skuad Tok Gajah Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi akan lebih mantap pada perlawanan seterusnya berbanding aksi pertama mereka menentang Kedah di Stadium Darul Aman semalam.

Nwakaeme dan Kaimbi yang buat pertama kali digandingkan dilihat tidak menghadapi masalah untuk mendapat rentak beraksi sebagai satu pasukan.

“Walaupun kedua-dua pemain ini tidak menjaringkan gol pada malam ini, saya tetap berpuas hati kerana ini merupakan perlawanan pertama gandingan mereka dan tanpa seratus peratus kecergasan, mereka masih boleh beri aksi terbaik pada perlawanan ini.

“Nwakaeme dan Kaimbi belum 100 peratus mencapai tahap kecergasan kerana Nwakaeme baru sahaja pulih dari kecederaan hamstring dan tidak sampai seminggu sahaja berlatih bersama rakan sepasukan sementara Kaimbi pula sudah hampir setahun tidak beraksi dan ini kira perlawanan pertama beliau.

“Baru dua tiga hari mereka bersama sudah nampak keserasian antara mereka dan saya percaya pada perlawanan selepas ini kita akan lihat mereka beraksi lebih mantap lagi,” kata Dollah.

Dollah bagaimanapun mengakui tempoh permulaan selepas puasa dan cuti Hari Raya lalu tetap meninggalkan kesan pada permulaan rentak permainan skuadnya.

“Permulaan perlawanan pertama selepas raya ni menampakkan kesan namun saya tidak menjangkakan kita boleh bermain dengan baik walaupun tanpa tiga tonggak utama,” kata Dollah.

“Kita datang ke Kedah tanpa sikap mahu bertahan kerana kita mahukan kemenangan dan mengutip tiga mata walaupun perlawanan di tempat lawan.

“Namun secara keseluruhan, saya tetap berpuas hati dengan corak permainan kali ini, dengan kita banyak mencipta ruang cuma kita tidak dapat memanfaatkan jaringan gol.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 1:50 PM