Pemain Melaka United, Safiq Rahim (dua dari kiri) melepasi kawalan pemain Terengganu pada perlawanan Liga Super. FOTO Khairunisah Lokman
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my


JARINGAN hatrik Sanjar Shaakhmedov membolehkan Terengganu FC (TFC) mengikat Melaka United (MU) 3-3 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat , Paya Rumput sebentar tadi.

Keputusan itu tidak cukup buat MU untuk memintas Kedah yang sekadar seri 0-0 berdepan Pahang semalam.

Gol pendahuluan tuan rumah terhasil seawal minit ke-17 menerusi Davy Angan yang merembat masuk gol sulungnya bersama MU hasil hantaran Dominik Balic.

Penguasaan menarik anak buah jurulatih Zainal Abidin Hassan membolehkan Luka Milunovic meledak jaringan kedua pada minit ke- 31 perlawanan.

Bagaimanapun pelawat berjaya merapatkan jurang pada minit ke -41 selepas Shaakhmedov merembat kencang dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat (Apek).

Tersentak dengan jaringan itu tuan rumah bingkas memperkemas serangan pada babak kedua apabila Angan menambah jaringan ketiga MU (m-48) selepas mudah menewaskan penjaga gol Muhamad Ilham Amirullah Razali.

TFC bagaimanapun melepaskan peluang menghasilkan gol kedua selepas sepakan penalti kapten pasukan, Lee Tuck pada minit ke-59 berjaya diselamatkan Apek.

Shaakhmedov menghukum kesilapan benteng tuan rumah selepas bijak melakukan rembatan pada minit ke-72 untuk gol kedua dan menolak masuk gol ketiga (m-82) TFC sekali gus membantu mencuri satu mata berharga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 11:32 PM