Aksi pemain negara berdepan Korea Selatan (kanan sekali). FOTO Ihsan MHC
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my


HASRAT skuad hoki wanita negara untuk mencipta sejarah mara ke kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak kesampaian apabila kalah 0-3 kepada Korea Selatan di separuh akhir Pusingan Akhir Siri FIH sebentar tadi.

Bagaimanpun, mara ke separuh akhir Pusingan Akhir Siri FIH menepati ramalan yang ditetapkan dan antara pencapaian paling jauh berbanding sebelum ini.

Sejak acara hoki wanita dipertandingkan pada Sukan Olimpik 1980, Malaysian Tigress terus kempunan untuk beraksi di temasya berkenaan.

Korea Selatan yang dibimbing Cho Myung Jun berada di depan pada minit ke-12 hasil gol padang Cho Hyejin selepas barisan pertahanan negara sedikit terleka.

Lima minit kemudian pasukan lawan menambah jaringan menerusi gol padang Kim Hyunji.

Peluang skuad hoki wanita negara untuk bangkit menjadi semakin sukar apabila Korea Selatan menambah gol ketiga hasil gol padang Cheon Eunbi pada minit ke-48.

Menanti Korea Selatan di perlawanan akhir ialah tuan rumah, Ireland yang berjaya menumpaskan Republik Czech 4-0.

Korea Selatan dan Ireland kedua-duanya berjaya mara ke kelayakan akhir Olimpik 2020 yang berlangsung September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 12:27 AM