Pemain Kuala Lumpur, Guilherme De Paula (kiri) diasak oleh pemain Selangor, Mohd Faiz Mohd Nasir pada aksi Liga Super. FOTO Hafiz Sohaimi
BERNAMA

JARINGAN penalti pada minit-minit terakhir membantu Selangor mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Kuala Lumpur pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini, sekali gus melonjakkan skuad Gergasi Merah ke kedudukan ketiga carta liga.

Pada aksi derby Lembah Klang itu, Selangor terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun pada minit ke-36, sebelum skuad ‘The City Boys’ menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Guilherme De Paula Lucrecio pada minit ke-58.

Skuad Gergasi Merah bagaimanapun berjaya mengesahkan tiga mata penuh apabila pengadil perlawanan, Fitri Maskon menghadiahkan sepakan penalti selepas Sean Eugene Selvaraj dijatuhkan dalam kotak penalti.

Pemain import dari Brazil, Sandro Da Silva melengkapkan penalti itu pada masa kecederaan perlawanan itu, untuk membantu Selangor memintas Kedah (23 mata) dan Melaka (23 mata) ke kedudukan ketiga dengan mengumpul 25 mata daripada 16 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 12:57 AM