HAZIQ (kiri) pernah buka kedai gunting rambut.
HAZIQ (kiri) pernah buka kedai gunting rambut.
Saiful Affendy Sapran

KADANG-KADANG perkara menjadi hobi atau bersifat santai mampu menjana pendapatan lumayan.

Begitulah dilakukan penyerang skuad hoki negara, Muhammad Haziq Samsul apabila minat mendalam dalam dunia jentera dua roda mendorongnya untuk menjual pelbagai koleksi topi keledar.

Jelas Haziq, segala-galanya bermula kira-kira setahun lalu apabila dia bersama pelawak terkenal, Zizan Razak mengambil pendekatan serius untuk menjual koleksi topi keledar.

“Selain popular sebagai selebriti, saya mengenali Zizan menerusi aktiviti santai dengan kelab motosikal. Walaupun dia pelawak, saya lihat dia sangat berminat dan serius untuk bersama saya membuka kedai menjual topi keledar.

“Jadi bermula daripada situlah kami membuka kedai yang dinamakan Bottol Garage,” katanya.

Jelas Haziq, sambutan diterima diluar jangkaan apabila premisnya diserbu mereka yang berminat mendapatkan pelbagai jenis koleksi topi keledar.

HAZIQ (tengah) kongsi minat yang sama dengan Zizan (kiri).
HAZIQ (tengah) kongsi minat yang sama dengan Zizan (kiri).

“Setiap bekalan antara 300 hingga 400 topi keledar boleh habis tidak sampai dua bulan. Kadang-kadang bekalan habis dan saya perlu menunggu tempahan yang baharu.

“Harga topi keledar yang dijual semurah RM40 hinggalah kepada RM5,000 bergantung kepada minat pembeli,” katanya.

Oleh kerana dia sendiri sibuk sebagai atlet sementara Zizan dengan kariernya, Haziq mengambil keputusan menggaji pekerja untuk menguruskan kedainya.

Dunia perniagaan juga bukan asing untuk Haziq yang sebelum ini mengusahakan kedai gunting rambut serta koleksi baju menerusi jenamanya sendiri.

“Mungkin saya mengikut jejak langkah arwah emak yang juga menyara hidup kami dengan berniaga.

“Lagipun saya memang berminat untuk berniaga kerana ia memberi pulangan yang baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 9:00 AM