Pemain FELDA, Hadin Azman (dua, kanan) meraikan gol menentang PKNS FC. FOTO BERNAMA


FELDA United FC fokus memburu kemenangan ke atas PJ City FC, Selasa ini, dalam usaha memperbaiki kedudukan Liga Super selepas melakar kejutan ke atas PKNS FC.

Dengan rekod kemenangan 1-0 ke atas lawan pada 2 Mac lalu, skuad kendalian Mohd Nidzam Jamil yakin misi merekodkan kemenangan kedua berturut-turut ke atas skuad berpangkalan di Lembah Klang itu mampu direalisasikan.

Justeru, Mohd Nidzam yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, misi membawa pulang tiga mata perlu dilaksanakan bagi mengelak terus berada di tangga tercorot.

"Dengan kemenangan 5-4 ke atas PKNS, kelmarin diharap semua pemain lebih bersedia untuk beraksi dengan lebih baik dan kental bertahan.

"Kejayaan mengutip tiga mata juga memberi motivasi untuk memastikan kejayaan berterusan apabila bertemu PJ City di tempat lawan nanti," katanya.

Jentera pertahanan begitu longgar dan kelab itu hampir kehilangan tiga mata ketika berdepan PKNS.

Pada perlawanan Selasa ini, The Fighters difahamkan akan menyenaraikan kembali pertahanan import dari Jepun, Masaki Watanabe dalam usaha mengukuhkan kembali benteng pasukan.

Watanabe tidak diturunkan akibat demam panas dan sekembalinya pemain itu diharap mampu mengatasi masalah berkenaan.

Ketajaman penyudah pemain kebangsaan Singapura, Khairul Amri Kamal juga menjadi taruhan The Fighters bagi merobek gawang PJ City.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 2:59 PM