Pemain Melaka, Claude Angan (kanan) cuba melepasi halangan pemain Terengganu, Nasrullah Haniff. FOTO BERNAMA
Nazri Abu Bakar


KEALPAAN selepas selesa mendahului antara faktor Melaka sekadar seri 3-3 berdepan Terengganu FC (TFC) di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput.

Jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan, berkata disiplin longgar ketika bertahan akibat keyakinan tinggi selepas mendahului 2-1 pada babak pertama dan 3-1 pada awal permainan episod kedua menjadi pendorong kebangkitan lawan, malam tadi.

Menurutnya, situasi berkenaan jelas merugikan ketika pasukan diambang kemenangan namun pelawat akhirnya mampu menyekat impian kutipan mata maksimum buat Melaka.

Beliau berkata, apa yang pasti TFC bijak mengambil kesempatan di atas situasi selesa anak buahnya menerusi kelebihan jaringan untuk menukar skrip keputusan.

Sehubungan itu, penekanan terhadap disiplin pertahanan dengan bantuan bahagian tengah terhadap usaha mempertahankan kubu akan terus diberi perhatian.

"Apapun kesungguhan barisan pelawat untuk memburu jaringan walaupun mereka kelihatan tertekan selepas ketinggalan sesuatu yang positif dan patut dijadikan pengajaran buat pemain kami.

"Dalam masa sama memuji usaha barisan depan, tengah dan bantuan barisan pertahanan untuk mencipta tiga jaringan terbabit," katanya.

Malah seharusnya mereka mampu meledak lebih banyak jaringan namun pertahanan TFC kental menutup ruang terutama pada minit-minit akhir perlawanan.

Gol Melaka pada aksi terbabit dicipta menerusi Davy Angan m-17, 48 dan Luka Milunovic m-31 manakala pelawat menerusi hatrik Sanjar   Shaakhmedov pada m-41, 64 dan m-82.

Sementara itu, jurulatih TFC, Nafuzi Zin memuji persembahan anak buahnya yang berjaya mengikat skuad Hang Tuah selepas ketinggalan dengan defisit besar pada babak kedua.

Nafuzi berkata, bukan mudah untuk bangkit selepas tuan rumah mendominasi aksi namun apa yang penting keputusan terbabit amat melegakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 3:55 PM