Pasukan TSG pada Tour de Korea. FOTO FB TSG
Barisan pelumba selepas berakhir saingan Tour de Korea. FOTO FB TSG
Azlan Muhammad Zain


TERENGGANU Inc TSG Cycling Team (TSG) menerusi pelumbanya dari Algeria, Youcef Reguigui menamatkan saingan Tour de Korea dengan meraih jersi pecut.

Ia adalah jersi pertama diraihnya bersama TSG selepas menyertai pasukan benua dari Terengganu itu tahun ini.

Youcef jelas cemerlang pada perlumbaan 2.1 Jelajah Asia berkenaan apabila konsisten menamatkan perlumbaan pada kedudukan 10 terbaik dalam saingan lima peringkat itu.

Selepas berakhir peringkat kelima, hari ini, dia mengumpul 66 mata untuk mengatasi Raymond Kreder dari Team UKYO, hanya ketinggalan satu mata dalam perebutan jersi pecut.

"Saya gembira berjaya mendapatkan kemenangan jersi untuk pasukan. Saya sedar rakan sepasukan bekerja keras sejak hari pertama.

"Ia detik yang hebat apabila berjaya mengekalkannya selepas menyarungnya sejak peringkat pertama," kata Youcef.

Selain Youcef, lima pelumba TSG yang menggalas cabaran di Korea adalah Nur Amirull Fakhruddin Marzuki, Metkel Eyob, Maral Erdene, Artem Ovechkin dan Drew Morey.

Sementara itu saingan 2.2 di Le Tour de Filipinas menyaksikan kapten TSG, Mohd Zamri Saleh muncul pelumba Malaysia terbaik peringkat ketiga apabila menamatkan saingan di kedudukan keenam.

Manakala pelumba Team Sapura Cycling (TSC) dari Jerman, Mario Vogt terlepas jersi pecut kepada Dominic Perez dari 7 Eleven Roadbike dengan perbezaan tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 4:16 PM