Ridwan (kanan) di tempat ketiga saingan elit keirin bersama Xu (tengah) dan Shariz. FOTO UCI
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


PELUMBA muda negara, Mohd Ridwan Sahrom membuktikan pemilihannya sebagai salah seorang pelumba yang disenaraikan dalam Team Azizul (AZA) tidak silap.

Pelumba berusia 18 tahun berkenaan membuktikan kemampuannya dengan meraih dua emas, satu perak dan satu gangsa dalam tiga siri Piala Trek China di Velodrom Laoshan, Beijing, minggu lalu.

"Paling membanggakan adalah pencapaian meraih tempat ketiga dalam keirin elit pada siri ketiga.

Percubaan pertama saya bersaing dengan pelumba elit," jelas pelumba remaja negara itu.

Ridwan terpaksa akur kepada jaguh utama China, Xu Chao yang cemerlang muncul juara manakala rakan senegara, Shariz Efendi Mohd Shahrin di kedudukan kedua.

"Bukan calang pelumba yang bersaing terutama Xu Chao yang sememangnya sememangnya berada di tahap dunia apabila sering bersaing bersama-sama Azizulhasni Awang dan abang saya, Shah Firdaus.

"Saya berharap ia akan menjadi permulaan yang positif untuk saya terus dihantar menyertai kejohanan antarabangsa terutamanya di pentas elit," tambahnya.

Terdahulu pada siri pertama dan kedua, dia yang bersaing dalam kategori junior cemerlang meraih dua emas menerusi keirin dan pecut individu.

Ridwan antara tiga pelumba muda yang didaftarkan bersama Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di bawah pasukan profesional trek negara bersama-sama Azizulhasni dalam pasukan AZA selain Danial Amar Masri dan Mohammad Fariz Haikal Mohd Kadir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 4:45 PM