Lee Tuck (kiri) gagal menyudahkan sepakan penalti ketika menentang Melaka. FOTO NSTP
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


ARKITEK Terengganu FC (TFC), Lee Tuck meluahkan rasa kecewa selepas gagal menghasilkan jaringan melalui sepakan penalti sekali gus menyaksikan pasukannya sekadar berkongsi satu mata dengan Melaka selepas terikat 3-3 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat.

Kapten skuad Penyu itu juga memohon maaf kepada rakan sepasukannya dan juga peminat setia skuad itu susulan kegagalan menyempurnakan sepakan penalti itu ketika pasukannya mempunyai peluang untuk menang.

"Saya minta maaf kepada semua, ini kali pertama saya gagal menjaringkan gol menerusi sepakan penalti, ia memang mendukacitakan lebih-lebih lagi ketika pasukan memerlukan jaringan untuk mencatat kemenangan.

"Tetapi itu lumrah dalam bola sepak, walaupun kecewa, saya tekad kembali lebih bertenaga pada perlawanan akan datang.

Pujian harus diberikan kepada rakan sepasukan kerana membantu saya ketika saya gagal beraksi dengan baik, tahniah buat pasukan," katanya.

Pada perlawanan itu, pemain berdarah kacukan Malaysia-England itu mengambil sepakan penalti yang diberikan pengadil, Mohd Nafeez Abdul Wahab selepas pemain itu sendiri dijatuhkan pertahanan skuad Hang Tuah pada m-58.

Bagaimanapun tendangan pemain pernah beraksi dalam Liga Thailand dan Bangladesh itu berjaya dibaca penjaga gol Melaka, Khairul Fahmi Che Mat ketika kedudukan semasa memihak kepada tuan rumah 3-1.

Namun anak buah jurulatih sementara, Nafuzi Zain tidak berputus asa sebaliknya terus bangkit mengasak kubu tuan rumah sebelum pemain tengah kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakmedov mencipta hatrik.

Mengenai kehadiran pemain tengah pasukan Terengganu FC II (TFC II) kelahiran Ivory Coast, Dechi Marcel dalam kesebelasan utama pasukan TFC, Tuck yang memulakan kariernya bersama kelab Halifax Town di negaranya mengakui pemain itu banyak membantu pasukan.

"Sememangnya ia sesuatu yang bagus apabila ada pemain tambahan dalam pasukan, lagipun Marcel bermain dengan baik dan bijak bertahan di bahagian tengah dengan umpanan yang berkualiti.

"Justeru bertemu dengan Perak Selasa ini di tempat mereka, saya jangkakan jika kami mampu perbaiki mutu permainan dan kurangkan melakukan kesilapan, kami boleh menang atau setidak-tidaknya dapat kutip satu mata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 5:16 PM