ANTUNA (dua kiri) meraikan gol bersama rakan sepasukan di Rose Bowl, Pasadena, awal pagi tadi. — FOTO AFP
Reuters/AFP

URIEL Antuna meledak hatrik ketika Mexico memulakan kempen Piala Emas Concacaf dengan membenam Cuba 7-0 pada aksi permbukaan di Rose Bowl, Pasadena, Amerika Syarikat, awal pagi tadi.

Pemain berusia 21 tahun itu pengganti saat akhir pemain pertahanan yang cedera Jorge Sanchez dalam skuad Mexico dan kehadirannya ternyata berbaloi.

Pemain tengah LA Galaxy itu memberikan Mexico permulaan sempurna dalam usaha mereka memburu kejuaraan ketujuh Piala Emas apabila dia menjaringkan gol pada minit kedua, beberapa ketika selepas percubaan Raul Jimenez terkena palang gol dari jarak dekat.

Antuna, yang hanya membuat kemunculan sulung antarabangsa 10 hari lalu apabila masuk sebagai pemain gantian menentang Venezuela, memberikan pasukannya kelebihan 4-0 pada minit ke-44 sebelum melengkapkan hatrik dengan gol terakhir pada minit ke-80.


DAVID (tiga kanan) mengatasi penjaga gol Martinique, Loic Chauvet untuk meledak gol pertama Kanada. — FOTO AFP

Jimenez menyumbat dua gol (m-31 dan m-64) manakala Diego Reyes (m-38) dan Ernesto Vega (m-74) turut mencetak nama sebagai penjaring gol El Tri.

Mendapat sokongan gemuruh penonton, Mexico tidak menunjukkan tanda mengecewakan penyokong mereka sekalipun kehilangan pemain utama seperti Hector Herrera, Javier Hernandez, Carlos Vela dan Hirving Lozano.

Ia perlawanan pertama konpetitif buat pengurus baharu Gerardo Martino, yang diambil semula Januari lalu dan menyaksikan tiga kemenangan aksi persahabatan ke atas pasukan dari Amerika Selatan.

Kanada, satu-satunya pasukan yang memecah dominasi Mexico dan AS dalam Piala Emas sejak kejohanan itu dijenamakan semula pada 1991, terdahulu membelasah Martinique 4-0 dalam Kumpulan A.

Dua gol daripada penyerang berpangkalan di Belgium, Jonathan David (m-33 dan m-53) memacu kejayaan Kanada meraih tiga mata sebelum jaringan Junior Hoilett (m-63) dan Scott Arfield (m-67) melengkapkan penguasaan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 6:45 PM