Agensi

DIEGO Maradona yang dianggap menipu masih enggan meminta maaf terhadap England kerana gol ‘Tangan Tuhan’ dilakukan yang dianggapnya sebagai ‘simbol balas dendam’ terhadap Perang Falklands.

Pemain keramat Argentina itu dilihat menggunakan tangannya untuk melepasi jangkauan penjaga gol England, Peter Shilton ketika perlawanan masyhur di peringkat suku akhir Piala Dunia 1986.

Insiden yang tidak dilihat oleh pengadil atau penjaga garisan biarpun mendapat bantahan kemarahan daripada Bobby Robson namun gol itu tetap dibenarkan.

Empat minit kemudian, dia menghasilkan jaringan individu terhebat sepanjang masa melarikan bola melepasi tiga pemain pertahanan Three Lions sebelum menjaringkan gol kemenangan 2-1.

Perlawanan itu dibayangi pertikaian dua negara itu pada 1982 menyaksikan seramai 649 tentera Argentina dan 255 Britain hilang nyawa sepanjang peperangan selama tiga bulan.

Selepas 32 tahun menerusi dokumentari diberi tajuk ‘Diego Maradona – Rebel, Hero, Hustler, God’ yang menceritakan karier bolasepaknya yang hebat, bekas pemain itu yang kini berusia 58 tahun masih tidak mahu meminta maaf terhadap tindakan kontroversinya itu.

Maradona berkata: “Kami sebagai rakyat Argentina, tidak tahu apa yang sedang dihadapi oleh tentera. Mereka memberitahu kami memenangi perang itu.

“Tetapi dalam realitinya, England menang 20-0. Ia sangat sukar.

“Cerita digembar-gemburkan seolah-olah kami akan beraksi seperti menghadapi satu lagi peperangan.

“Saya tahu ia adalah tangan saya. Ia bukan perancangan saya, ia berlaku terlalu pantas sehinggakan penjaga garisan tidak melihat saya menggunakan tangan.

Pengadil memandang kepada saya dan berkata: ‘Gol’.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 6:45 PM
Maradona tidak mahu minta maaf kepada England sejak insiden suku akhir Piala Dunia 1986. FOTO AFP