MARQUEZ meraikan kejayaan memenangi kategori Moto2 Grand Prix Catalunya. — FOTO EPA
AFP

PELUMBA Sepanyol, Alex Marquez yang menunggang Kalex, memenangi perlumbaan Moto2 Grand Prix Catalunya hari ini untuk mendahului carta kejuaraan dunia.

Marquez, adik juara MotoGP dunia Marc, mencatat 38 minit 25.678 saat untuk mengatasi pelumba Switzerland, Thomas Luthi dengan seorang lagi penunggang Sepanyol, Jorge Navarro, melengkapkan podium di litar Montmelo.

Kemenangan itu menyaksikan Marquez merampas kedudukan rakan sepasukan dari Itali, Lorenzo Baldassarri dalam senarai kejuaraan dunia.

Sepanyol turut meraih gelaran dalam Moto3 apabila penunggang Honda, Marcos Ramirez merakam kemenangan sulungnya sekali gus muncul pemenang ke-12 dalam 12 perlumbaan terakhir di litar itu.


MARQUEZ (kanan) diekori rapat Luthi pada perlumbaan Moto2 di Litar Barcelona-Catalunya. — FOTO EPA

Ramirez mendahului rakan sepasukan Honda, Kaito Toba selepas pelumba Jepun itu yang bermula di petak ke-24, terjatuh pada pusingan terakhir.

Di sebalik ancaman selekoh terakhir daripada penunggang KTM dari Sepanyol, Aron Canet, Ramirez berjaya memecut ke garisan penamat dalam perlumbaan dipenuhi kemalangan itu.

Canet mendahului kedudukan pelumba, mengukuhkan pendahuluannya daripada tiga mata sebelum perlumbaan kepada 23 mata, dengan pencabar terdekatnya Lorenzo Dalla Porta tidak menamatkan perlumbaan apabila jentera Honda tunggangannya mengalami masalah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 9:23 PM