LIGA Europa trofi sulung dimenangi Sarri sebagai jurulatih. Chelsea mengalahkan Arsenal 4-1 pada final di Baku bulan lalu. — FOTO AFP
AFP

MAURIZIO Sarri dinamakan sebagai jurulatih baharu Juventus hari ini selepas meninggalkan Chelsea dan ia disahkan kedua-dua kelab.

Sarri kembali ke Itali dengan kontrak tiga tahun hanya semusim selepas meninggalkan Napoli untuk ke Stamford Bridge, yang mana beliau gagal meraih sokongan sekalipun memenangi Liga Europa dan membantu Blues kembali ke Liga Juara-Juara susulan pencapaian tangga ketiga Liga Perdana Inggeris.

“Maurizio Sarri sudah kembali ke Itali, yang mana beliau menjadi jurulatih bagi hampir keseluruhan kariernya. Mulai hari ini, beliau akan mengambil alih di Juventus dengan kontrak hingga 30 Jun 2022,” menurut Juventus dalam satu kenyataan.

Kemenangan Liga Europa bulan lalu adalah trofi utama sulung buat Sarri sebagai jurulatih, namun beliau dijangka meraih lebih banyak lagi di Turin.

Juventus menang Serie A bagi lapan musim terakhir, menafikan bekas kelab Sarri, Napoli beberapa kali.

Bagaimanapun, Massimiliano Allegri meninggalkan kelab itu hujung kempen lalu selepas gagal mengemudi kelab gergasi Itali itu memenangi Liga Juara-Juara di sebalik mengikat Cristiano Ronaldo tahun lalu.

Dengan Ronaldo kini berusia 34 tahun, memenangi kejuaraan pertama Liga Juara-Juara sejak 1996 menjadi keutamaan Sarri.

Chelsea pula kini perlu mengalih tumpuan mencari pengurus tetap ke-11 dalam tempoh Roman Abramovich menjadi pemilik kelab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 12:06 AM