SORDO (kanan) dan jurupandu dari Sepanyol, Carlos del Barrio meraikan kemenangan di podium di Alghero, Itali. — FOTO AFP
Reuters

PEMANDU Sepanyol, Dani Sordo menjuarai Rali Itali di Sardinia dengan jentera Hyundai malam ini selepas pendahulu semalaman dari Toyota, Ott Tanak mengalami masalah stering pada peringkat terakhir dan merudum ke tangga kelima.

Tanak, yang merampas kedudukan selaku pendahulu kejuaraan daripada pemandu Citroen, Sebastien Ogier, awalnya mendahului selesa 26.7 saat dan berada di ambang kemenangan ketiga berturut-turut menjelang peringkat akhir Sassari-Argentiera.

Pemandu Estonia itu, yang menang semua enam peringkat pada hari kedua kelmarin, kehilangan dua minit dalam drama lewat yang menyaksikan keretanya terbalik.

Pemandu Finland, Teemu Suninen berakhir di tangga kedua dengan jentera M-Sport Ford, 13.7 saat di belakang, dengan pemandu Norway, Andreas Mikkelsen ketiga buat Hyundai.


SORDO mengemudi kereta Hyundai i20 Coupe WRC merentasi sungai di Monte Lerno, sebahagian daripada SS15 pada hari terakhir Rali Dunia di Sardinia. — FOTO AFP

Kemenangan itu adalah yang pertama buat Sordo sejak 2013 dan kedua dalam kariernya.

Juara dunia enam kali Ogier terlanggar batu dan bersara Jumaat lalu. Tanak kini empat mata di depan Ogier dalam kejuaraan dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 12:51 AM