Mohamed Salah cuba mengatasi penjaga gol Guinea, Aly Keita pada aksi persahabatan awal pagi ini di Mesir. FOTO Reuters
AFP

BINTANG Mesir, Mohamed Salah dimasukkan sebagai pemain gantian namun tidak menjaringkan gol ketika tuan rumah Piala Negara Afrika 2019 itu menewaskan Guinea 3-1 pada aksi pemanas badan, awal pagi ini.

Marwan Mohsen meletakkan Mesir di depan pada aksi di Alexandria itu namun Sory Kaba menyamakan kedudukan pada pertengahan babak kedua perlawanan.

Pemain yang kembali disenarai bersama skuad kebangsaan, Ahmed Ali kembali meletakkan Mesir mendahului sebelum Omar Gaber meledak gol lewat bagi mengesahkan kemenangan Mesir.

Ia kemenangan kedua pada aksi pemanas badan buat Mesir, yang sebelum ini menewaskan Tanzania 1-0 tiga hari lalu di gelanggang sama.

Mesir diundi dalam Kumpulan A bersama Republik Demokratik Congo, Uganda dan Zimbabwe bagi kejohanan yang dijadual berlangsung pada 21 Jun hingga 19 Julai dan memburu gelaran kelapan Afrika.

Ketika Mesir meneruskan rentak kemenangan, Maghribi pula mencatat kekalahan kedua berturut-turut di gelanggang sendiri 2-3 kepada Zambia.

Bintang Ajax Amsterdam, Hakim Ziyech meledak gol penyamaan sebanyak dua kali buat Maghribi yang dianggap pencabar utama Mesir tetapi dikecewakan dengan jaringan kemenangan Enock Mwepu pada minit ke-75.

Maghribi, yang tewas kepada Gambia, minggu lalu dibimbing pengendali dari Perancis, Herve Renard yang juga satu-satunya jurulatih yang berjaya memenangi Piala Negara Afrika bersama negara berbeza, Zambia pada 2012 dan Ivory Coast tiga tahun kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 8:30 AM