Hadin meledak empat gol dalam saingan Liga Super musim ini. FOTO NSTP
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


SELEPAS menang ke atas PKNS FC, FELDA United meneruskan misi mencari kemenangan ketiga apabila bertandang ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, esok, menentang PJ City FC.

Kapten The Fighters, Hadin Azman berkata, beliau percaya rakan sepasukan yang lain juga sudah bersedia untuk terus memburu mata bagi memperbaiki kedudukan pasukan dalam carta Liga.

"Kita sudah kembali mendapat motivasi selepas menang 5-4 pada aksi menentang PKNS FC, minggu lalu.

Jadi, saya dan rakan sepasukan tidak mahu menoleh ke belakang lagi.

"Latihan sepanjang hujung minggu ini menunjukkan semangat dan komitmen pemain di tahap terbaik.

"Kita akan mantapkan lagi jentera serangan menjelang aksi menentang PJ City FC.

Saya berharap tiga mata menjadi milik FELDA United," katanya menjaringkan empat gol dalam saingan Liga Super musim ini.

Hadin berkata, walaupun semua pemain sudah menemui rentak, namun kelemahan benteng pertahanan perlu diperbaiki.

"Kemenangan sebelum ini melegakan walaupun kealpaan jentera pertahanan menyaksikan skuad kendalian Datuk K Rajagobal merapatkan jurang pada minit akhir perlawanan.

"Jadi, saya percaya jurulatih kami, Mohd Nidzam Jamil mempunyai strategi mengatasi masalah itu menjelang aksi malam esok.

"Masaki Watanabe juga kembali pulih daripada demam panas dan turun menjalani latihan, saya harap kehadirannya dalam kesebelasan utama dapat memperkuatkan benteng pertahanan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 3:17 PM