KARIM belum lagi berjaya mempertahankan jawatan kali ketiga. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Aida Adilah Mat


PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim meluahkan keyakinan beliau boleh memenangi kerusi nombor satu badan induk sukan itu pada mesyuarat agung tahunan (AGM) bagi penggal 2019-2022, 30 Jun ini.

Seperti yang dijangka Karim akan ditentang oleh timbalannya Datuk S Marathamuthu selepas panel bebas diketuai bekas Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi membuka kertas pencalonan pada jam 6 petang hari ini.

Karim, yang mula memegang kerusi nombor satu KOM sejak 2014, mengintai peluang untuk mempertahankan jawatan buat kali ketiga berturut-turut pada pemilihan hujung bulan ini bagaimanapun meluahkan rasa terkejut dan tidak menyangka Marathamuthu yang disifatkan sebagai kawan baik akan menentangnya.

“Selama saya dalam KOM ini saya tak pernah kalah.

“Tapi saya sedih Muthu kawan baik saya yang saya bawa masuk dalam KOM ini yang akan cabar saya,” katanya yang ditemui selepas tarikh tutup pencalonan di Wisma MOM hari ini.

Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk membuat pemilihan siapa yang layak memegang jawatan itu dan menilai sendiri apa yang beliau lakukan selama lima tahun dalam membangunkan olahraga di negara ini.

Karim mendapat pencalonan daripada Persatuan Olahraga Perak, Kelantan dan Melaka.

Manakala Marathamuthu yang juga Presiden Persatuan Olahraga Selangor (POS) dicalon oleh Selangor dan Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 9:45 PM