LJUNGBERG sedia bantu Emery memenangi trofi bersama Arsenal. — FOTO Reuters
Reuters

BEKAS pemain tengah Arsenal, Freddie Ljungberg dilantik sebagai penolong baharu Unai Emery sebagai sebahagian daripada perubahan dalam staf kejurulatihan, umum kelab Liga Perdana Inggeris itu hari ini.

Ljungberg, yang kembali ke Arsenal untuk melatih pasukan B-23 tahun lalu, seorang daripada anggota pasukan “The Invincibles” yang membantu kelab utara London itu memenangi kejuaraan liga kali terakhir pada 2004.

Bekas penolong jurulatih Steve Bould kini akan mengetuai pasukan B-23 dan bekerja dengan pengurus akademi Per Mertesacker untuk membantu transisi pemain muda ke pasukan utama. Perubahan itu berkuat kuasa 1 Julai ini.

“Kami bangga dengan impak dilakukan Freddie dalam membantu membentuk pemain muda ke dalam pasukan utama dan beliau berhak dengan pelantikan ini,” menurut kelab itu dalam satu kenyataan.

“Di samping tanggungjawab baharu kejurulatihan, Freddie akan memberi tumpuan penuh kepada pemain muda yang akan diserapkan ke dalam pasukan utama.”

Ljungberg bermain untuk Arsenal dari 1998 hingga 2007 dan melakukan 325 penampilan, menjaringkan 71 gol serta dinamakan dalam senarai pemain terbaik musim Liga Perdana pada 2001-02.

“Saya amat teruja dengan peluang untuk membantu membentuk dan bekerja dengan beberapa pemain muda hebat... dan bekerja di samping Unai serta pasukan kejurulatihan untuk membantu Arsenal memenangi trofi,” kata Ljungberg.

“Saya tidak sabar untuk bertugas dengan struktur baharu ini dan mencurahkan pengalaman serta pengetahuan saya mengenai apa yang diperlukan untuk berjaya di tahap ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 1:00 AM
Skip this ad x