PEMAIN Piala Presiden Kelantan tidak dapat gaji sejak dua bulan lalu.
Syazwan Msar dan Attirmidzie Rahman


KUALA LUMPUR: Faktor kewangan meruncing yang melanda Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menyebabkan skuad Piala Presiden negeri itu mungkin menarik diri selepas tidak mendapat bayaran gaji atau elaun sejak dua bulan lalu.

Menurut sumber, skuad Piala Presiden Kelantan seolah-olah dianaktirikan apabila mereka hanya menerima bayaran insentif sebelum Aidilfitri lalu hingga ada desas-desus yang mengaitkan pemain enggan lagi turun padang.

Jika situasi berkenaan berlaku, Kelantan bakal mengikut jejak langkah Perlis yang sebelum ini menarik diri daripada beraksi dalam saingan Piala Presiden.

Perkara itu akan mengganggu jadual perlawanan Piala Presiden yang terpaksa dirombak kembali memandang masih ada lagi baki perlawanan yang perlu diharungi Kelantan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed berkata, jika benar perkara terbabit berlaku akan menyebabkan jadual perlawanan yang disusun sebelum ini perlu diubah sekali gus menganggu perancangan pasukan lain.

Beliau berkata, pihaknya tidak mencampuri urusan KAFA membabitkan skuad Piala Presiden, namun mengakui ia adalah tindakan merugikan kerana menganggu perancangan pembangunan bola sepak di peringkat belia.

“Saya mengharapkan perkara itu tidak berlaku, namun jika ia terjadi akan ada banyak perubahan yang perlu dilakukan terutama membabitkan jadual perlawanan.

“Namun, lebih dikesali bakat pemain yang berpotensi tidak dapat digilap hingga ke tahap optimum sekali gus merencatkan program pembangunan akar umbi.

“Kami akan berhubung dengan KAFA bagi mendapatkan penjelasan situasi semasa dan berharap mereka dapat menyelesaikan isu berbangkit dengan segera,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, di Kota Bharu, Kelab Penyokong Persatuan Bola Sepak Kelantan bersedia berunding dengan Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) untuk merealisasikan hasrat ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abd Aziz mengambil alih kepimpinan KAFA.

Pengerusi Kelab Peminat Kelantan Red Warriors (KRWFC), Syed Abdullah Syed Mahmood berkata, Amril begitu serius mahu menerajui badan induk bola sepak negeri itu sekiranya PBJ bersedia mencalonkannya semasa mesyuarat agung luar biasa (EGM) dalam masa terdekat.

“Beliau (Amril) ikhlas ingin membantu memulihkan kembali imej bola sepak negeri ini dan memberi jaminan akan bertanggungjawab sepenuhnya menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda bola sepak Kelantan selepas proses transisi kuasa dilaksanakan dalam persatuan itu.

“Beliau juga menyatakan hasrat secara terbuka semasa pertemuan dengan saya dan bersedia mengambil alih pentadbiran KAFA sekiranya PBJ mencalonkan beliau secara rasmi.

“Sebenarnya saya pernah berjumpa beberapa calon yang bakal diketengahkan jawatan presiden awal bulan ini, namun mereka tidak menunjukkan minat menerajui KAFA. Saya yakin Amril calon sesuai disenarai pendek oleh PBJ,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Yang Dipertua PBJ Tanah Merah, Kamarudin Mohamad menjelaskan PBJ tidak akan memilih Amril Aiman sebagai calon presiden KAFA sekiranya penyandangnya, Bibi Ramjani Ilias Khan melepaskan jawatan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 8:00 AM