AKHIMULLAH (dua kiri) tonggak utama SSTMI Thunderbolts — FOTO Owee Ah Chun
Saiful Affendy Sapran


KETUA jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans bertegas tidak membenarkan pemain muda negara beraksi pada saingan Liga Hoki Remaja Malaysia bermula Sabtu ini.

Oltmans berkata, tiga pemain terbabit iaitu Akhimullah Anuar Esook, Muhammad Noor Firdaus Rosdi dan Arif Syafie Ishak perlu terus menjalani latihan penuh bersama skuad utama negara.

Jelas beliau, mereka hanya diberi pelepasan untuk beraksi di saingan liga seandainya tidak terpilih untuk beraksi bersama skuad kebangsaan dalam siri jelajah Eropah bermula hujung bulan depan.

“Selagi saya belum mengumumkan senarai nama yang terpilih, mereka perlu menjalani latihan penuh bersama skuad kebangsaan.

“Bagaimanapun sekiranya tidak terpilih, barulah mereka dibenarkan beraksi di saingan liga,” katanya.

Tegas Oltmans, persediaan untuk siri jelajah Eropah sebagai persiapan ke kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah lebih penting.

“Ia juga bagi meningkatkan prestasi pemain muda ini berbanding beraksi di Liga Hoki Remaja.

“Sudah tentu mereka akan menjadi pemain bintang apabila beraksi di saingan liga.

“Tapi demi pembangunan mereka, saya mahu mereka kekal menjalani latihan bersama skuad kebangsaan dalam tempoh beberapa minggu.

“Kemudian jika tidak terpilih barulah ruang diberikan kepada mereka untuk beraksi di saingan liga,” katanya.

Berita itu pastinya menjadi satu tamparan kepada SSTMI Thunderbolts, pasukan yang diwakili tiga pemain itu dalam usaha untuk mempertahankan kejuaraan berganda yang dimenangi mereka musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 5:45 PM