Jae-hyung (kiri) tidak akan biarkan Khairul Anuar keseorangan di Tokyo. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain


PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Lee Jae-hyung tidak akan membiarkan Khairul Anuar Mohamad ‘keseorangan’ ke Olimpik Tokyo.

Jelas pengendali dari Korea Selatan berkenaan beliau masih menaruh harapan agar anak buahnya meraih tiket dalam acara berpasukan lelaki buat kali keempat berturut-turut sejak 2008.

Pada Kejohanan Dunia di Belanda, Malaysia gagal dalam misi menempah tiket awal ke Tokyo apabila tersingkir awal sekali gus gagal menjadi lapan pasukan terbaik untuk layak ke Tokyo.

Malaysia hanya meraih tiket individu ke Olimpik menerusi Khairul Anuar yang meraih perak dalam recurve individu.

"Masih terdapat peluang terakhir di siri Piala Dunia Berlin pada Jun tahun depan.

"Ada tiga tiket berpasukan yang ditawarkan dan saya berharap kita mampu raihnya di sana. Situasi sama yang berlaku ketika edisi Olimpik 2016 apabila kita layak pada 2015," katanya.

Jae-hyung menjangkakan saingan lebih sengit untuk tiket Olimpik di Berlin kerana Amerika Syarikat, Itali dan Perancis turut gagal di Belanda.

"Jika kita melakukan persiapan yang baik, kita akan dapat lepasi sasaran untuk memperoleh tiket ke Olimpik.

Kita akan ke Jepun bulan depan bagi latihan dan pertandingan di venue Olimpik," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 5:17 PM