Megat Zulkarnain beri jaminan kepada atlet bertanding di Filipina. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain


KETUA kontinjen negara (CDM) ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin memberi jaminan atlet tidak akan dibebani dengan masalah di luar gelanggang pada temasya dwitahunan itu.

Rombongan Malaysia membabitkan Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta pihaknya akan "turun padang" pada 1 hingga 5 Julai bagi meninjau secara dekat situasi di Filipina.

"Jadi semua perkara akan dilihat serta dinilai termasuk aspek penginapan dan makanan halal.

"Kita serius untuk menyelesaikannya kerana tidak mahu atlet dibebani dengan masalah seperti ini apabila mereka ke sana nanti.

“Kita mahu atlet memberi fokus di atas gelanggang," katanya, hari ini selepas lawatan meninjau persiapan atlet negara membabitkan sukan menembak, taekwondo, ping pong, karate dan wushu di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Tambah Megat Zulkarnain, sekiranya terdapat perkara berbangkit ia akan dipanjangkan pada mesyuarat CDM dari 10 hingga 13 Julai.

Pada masa yang sama, beliau berharap tiada kes doping berlaku pada edisi ke-30 membabitkan skuad negara.

"Walaupun ujian yang dijalankan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) adalah secara rawak berbanding lebih ketat dua tahun lalu, saya berharap tiada kes baru akan berlaku," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 6:36 PM