PENYERANG Melaka, Luka Milunovic (kanan) melepasi kawalan pertahanan Kuala Lumpur, Irfan Zakaria pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam ini. — FOTO BERNAMA
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


MELAKA United memusnahkan impian Kuala Lumpur untuk meraih tiga mata penting apabila menewaskan tuan rumah 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.

Gol tunggal sumbangan Patrick Reichelt pada minit ke-43 sudah cukup menggembirakan buat pengendali Melaka, Zainal Abidin Hassan untuk melonjak kedudukan pasukan ke tangga keempat liga.

Pada babak pertama menyaksikan pelawat lebih banyak melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan untuk memburu gol pembukaan.

Gol yang dicari-cari akhirnya hadir hasil umpanan pemain import Davy Angan disudahkan Reichelt sekali gus menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur, Sharbinee Allawee Ramli dua minit sebelum rehat.

Kekalahan skuad City Boys itu sekali gus menyebabkan pasukan itu berada di kedudukan ketiga tercorot hanya membezakan satu mata dengan PKNP FC yang kini berada di zon penyingkiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 11:29 PM