SHAHIDAN Kassim.

Meor Riduwan Meor Ahmad

[email protected]

KUALA LUMPUR: Bekas presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim yang menawarkan diri merebut kerusi nombor dua badan induk sukan itu, membayangkan sokongan kepada calon ‘B’ untuk merebut jawatan presiden pada mesyuarat agung tahunan (AGM) KOM bagi penggal 2019-2022, 30 Jun ini.

Beliau juga awal-awal lagi mencanang akan memastikan tiga undi selamat dari Perlis untuk bakal presiden baharu itu.

“Saya bertanding kerana hendak menyokong calon presiden yang mampu bawa perubahan. Lebih kurang macam presiden baharulah ya,” katanya dihubungi semalam.

Ditanya kenapa tidak bertanding bagi jawatan presiden, beliau menegaskan ia demi perpaduan KOM.

“Salah atau tidak saya bertanding timbalan presiden? Saya boleh nak bertanding jawatan presiden tapi saya tidak mahu ‘goncangkan bot’, biar berjalan dengan elok.

“Mungkin sebagai timbalan, saya boleh membantu mereka. Sekurang-kurang ada orang politik dalam kesatuan. Tidaklah nampak macam bertelagah dengan pihak berkuasa, itu tidak bagus,” katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan Shahidan akan ditentang bekas legenda olahraga negara, Datuk Mumtaz Jaafar yang juga Naib Presiden KOM.

Menurut Shahidan beliau berpendapat bagus jika ada ahli politik berada dalam jawatankuasa eksekutif sesebuah kesatuan sukan.

“Dalam sukan jika ada orang politik yang minat sukan, cantik!. Contohnya seperti Datuk Norza (Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria) sebagai Presiden dalam Majlis Olimpik Malaysia. Saya nak bertanding atas dasar mereka (ahli kesatuan) kata ada keperluaan. Jika tiada keperluan saya tidak akan bertanding.

“Setakat ini saya baru berjumpa dua tiga orang bertanya pandangan mereka, kalau diminta teruskan (bertanding) saya akan teruskan. Sekurang-kurangnya tiga undi dari Perlis bagi presiden baharu ini,” katanya.

Mengulas kenyataan pencabarnya, Mumtaz yang nekad berdepan sesiapa saja dalam pemilihan itu, Shahidan juga senada.

“Saya tidak mahu cerita siapa saya, kalau nak lawan, kita lawanlah. Apa saya kisah? Antara benda yang saya cukup sakit hati, apabila orang bercakap berbelit-belit dalam persatuan. Depan cakap lain, di belakang cakap lain.

“Sebab itu, biarlah saya balik ke kesatuan ini, tapi di peringkat negeri saya masih presiden Persatuan Olahraga Perlis,” katanya.

Beliau berkata, sewajarnya calon yang ingin bertanding jawatan dalam KOM perlu mempunyai jawatan di peringkat negeri kerana penting untuk beri sumbangan kepada sukan tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 8:30 AM